SEPATUTNYA mati di kerusi elektrik, namun ajal lebih awal menjemput antara pembunuh bersiri paling kejam di dunia.

Joseph Edward Duncan III dilapor meninggal dunia akibat kanser otak di Penjara Persekutuan Amerika Syarikat, pada Ahad lepas, lapor AP.

Penjenayah berusia 58 tahun itu sebelum ini mengaku bersalah membunuh tujuh individu, termasuk lima kanak-kanak di Idaho, Washington, Montana, dan California, dan dijatuhi hukuman mati.

Lelaki itu telahpun didakwa atas beberapa perbuatan jenayah di antara tahun 1994 dan 1997 ketika parol, dan juga di antara 2000 dan 2005 selepas dibebaskan dari penjara.

Duncan telah dikategorikan sebagai pesalah seksual, selepas dia memberitahu seorang ahli terapi tentang perbuatannya merogol 13 kanak-kanak lelaki ketika baru berusia 16 tahun.

Namun perbuatannya yang paling kejam berlaku pada 2005, selepas dia memecah masuk sebuah rumah di Idaho Panhandle.

Dia mengaku mengikat Brenda Groene, 40; teman lelaki Brenda, Mark Mckenzie, 37; anak lelaki Brenda, Slade, 13, dan memukul mereka hingga mati menggunakan tukul.

Dua lagi anak Brenda, Dylan, 9, dan Shasta,8, dilaporkan hilang ketika pihak berkuasa menggeledah rumah tersebut.

Duncan dilaporkan telah membawa dua kanak-kanak malang berkenaan ke kawasan hutan di barat Montana, di mana dia menyeksa mereka selama berminggu-minggu sebelum menembak kepala Dylan dengan senapang patah.

Tidak cukup dengan itu, Shasta terpaksa menanggung penderitaan sewaktu dikurung apabila dia dirogol berkali-kali oleh Duncan.

Pada 2 Julai, 2005, Duncan telah membawa kanak-kanak perempuan itu ke sebuah restoran di Coeur d’Alene.

Mujur pekerja restoran berkenaan pantas mengecam Shasta dan menelefon polis.

Duncan ditahan tanpa melawan, dan menjalani prosiding mahkamah sebelum dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun sama.

Shasta, yang kini berusia lingkungan 20an menzahirkan rasa lega sejurus mengetahui berita kematian lelaki itu.

“Sekian lama saya menanggung perasaan benci yang amat sangat terhadap lelaki itu.

"Hari ini, saya bangun pagi dan terasa jiwa saya telah dibebaskan.

“Saya harap, ahli keluarga mangsa Duncan juga boleh bangun pada waktu pagi, dan merasai kelegaan yang sama,” katanya dalam kenyataan bertulis.